KUALA LUMPUR: Kelestarian pengangkutan awam darat di Lembah Klang adalah memuaskan dari aspek penyediaan infrastruktur rel dan bas, tahap pengoperasian perkhidmatan rel, peningkatan penumpang serta integrasi dan ketersambungan, menurut Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2022.

Bagaimanapun, laporan itu memaklumkan aspek tahap pengoperasian perkhidmatan bas, perkongsian mod dan penggunaan kenderaan cekap tenaga adalah kurang memuaskan.

"Di samping itu, terdapat kelemahan dalam aspek penjualan pas bulanan tanpa had yang tidak mencapai sasaran serta fasiliti railings, ramp dan embosses di hentian bas kurang memenuhi keperluan golongan rentan dan Orang Kurang Upaya (OKU).

"Selain itu, aplikasi yang tidak berintegrasi antara syarikat pengendali bas dan rel memberi kesan kepada pengguna untuk merancang perjalanan menggunakan mod pengangkutan yang berbeza," menurut laporan itu yang dibentang di Dewan Rakyat hari ini.

Bagi tujuan penambahbaikan dan memantapkan perkhidmatan pengangkutan awam darat rel dan bas, pihak audit mengesyorkan agar Kementerian Pengangkutan (MOT) dan pihak berkuasa tempatan (PBT) bekerjasama mengkaji kaedah yang sesuai bagi meningkatkan tahap perkhidmatan rel dan bas supaya pengguna mendapat perkhidmatan yang inklusif, efisien serta boleh dipercayai.

"MOT dan PBT juga perlu mengkaji mekanisme yang berkesan bagi mencapai inisiatif mobiliti rendah karbon melalui penggunaan kenderaan cekap tenaga serta meningkatkan penggunaan perkhidmatan pengangkutan awam," menurut laporan itu.

Audit turut mengesyorkan agar MOT menetapkan sasaran dan kaedah pengukuran pencapaian peningkatan perkongsian mod secara khusus bagi memastikan objektif Dasar Pengangkutan Negara 2019 hingga 2030 (DPN 2019-2030) dapat dicapai menjelang 2030.

-- BERNAMA